Sarawak sokong projek Kereta Api Trans-Borneo - Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kuching
KUCHING— Projek Kereta Api Trans-Borneo merentas sempadan melibatkan wilayah Sarawak dan Kalimantan Barat, Indonesia mendapat sokongan positif daripada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kuching Dr Abdullah Zulkifli berkata, projek itu langkah strategik memperkukuh hubungan ekonomi, perdagangan dan mobiliti serantau di seluruh Borneo.
Tambahnya, inisiatif berkenaan berpotensi meningkatkan tahap kesalinghubungan antara Sarawak dan Kalimantan, sekali gus mengukuhkan jaringan perdagangan dua hala sekiranya direalisasikan.
"Dalam kesempatan pertemuan sebentar tadi, Premier Sarawak mendorong agar satu jaringan kesalinghubungan iaitu Kereta Api Trans-Borneo diperluaskan ke wilayah Kalimantan.
"Jadi, ini adalah satu peluang yang baik untuk mendorong kerjasama antara Kalimantan dengan Sarawak dan seluruh kawasan Borneo agar menjadi sebagai sebuah kawasan pembangunan ekonomi dan perdagangan yang menguntungkan semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi di sini, hari ini.
Kunjungan hormat itu merupakan kunjungan hormat pertama Abdullah ke atas Abang Johari selepas memegang jawatan itu pada Oktober tahun lalu.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, peningkatan kesalinghubungan khususnya dari Indonesia ke Sarawak merupakan antara fokus utama beliau memandangkan Kuching bakal menjadi tuan rumah acara pembukaan Sukan SEA 2027.
"Sepanjang berada di sini, fokus utama saya adalah untuk meningkatkan aspek kesalinghubungan serta kerjasama, termasuk juga kesalinghubungan antara rakyat di mana ketika ini, hubungan antara Kuching dan Pontianak sudah pun terjalin, dengan Kuching menjadi wilayah terdekat dengan Kalimantan.
"Kita semua maklum bahawa pada tahun 2027, majlis perasmian Sukan SEA akan diadakan di Kuching dan sudah tentu dijangka berlaku peningkatan jumlah pengunjung dari Indonesia ke Sarawak bagi menyaksikan temasya tersebut dan tahun lalu, iaitu pada 2025, ketika kami baru tiba, Sukan Borneo sedang berlangsung, manakala pada tahun 2027 pula, Sukan Borneo akan diadakan di Kalimantan Timur," katanya.
Pada masa sama Abdullah berkata, Kerajaan Indonesia juga berhasrat memperkukuh kerjasama strategik dengan Sarawak, khususnya melibatkan pembangunan kawasan sempadan, perdagangan dan ketersambungan bagi menjadikan Pulau Borneo sebagai satu kesatuan ekonomi dan perniagaan yang saling menguntungkan.
“Antara perkara penting yang dibincangkan ialah kerjasama di kawasan sempadan, khususnya bagi meningkatkan perdagangan serta memperkukuh ketersambungan antara kedua-dua wilayah,” jelas beliau.
Beliau turut memuji potensi besar Sarawak yang disifatkan memiliki keluasan alam semula jadi yang luas serta kekuatan dalam sektor tenaga, ekonomi dan infrastruktur, termasuk jaringan Lebuhraya Pan Borneo dan Lebuhraya Pesisir.
Selain itu, Abdullah turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas perhatian dan layanan baik yang diberikan kepada pekerja Indonesia di negeri ini, khususnya dalam aspek perlindungan dan kebajikan pekerja yang sah.
Beliau berkata layanan dan perlindungan yang baik itu membolehkan pekerja Indonesia bekerja secara produktif, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kedua-dua pihak.
Abdullah menambah, pertemuan tersebut juga membuka ruang perbincangan mengenai langkah-langkah penambahbaikan serta penyelesaian terhadap sebarang kekangan yang mungkin wujud dalam usaha mempertingkatkan kerjasama sedia ada.
“Bagi merealisasikan hasrat ini, kerjasama bukan sahaja diperlukan daripada Kerajaan Sarawak, malah kami juga akan terus berkoordinasi dan berkomunikasi dengan pihak-pihak berkaitan di Indonesia,” katanya.
Secara keseluruhan, beliau menyifatkan pertemuan itu berlangsung dalam suasana yang amat baik dan positif, sambil menghargai keterbukaan Premier Sarawak dalam berkongsi data serta inisiatif yang mampu mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia.
tamat