Gelombang kedua bah di Sarawak
KUCHING — Hujan berterusan sejak semalam melibatkan beberapa bahagian di Sarawak yang diramalkan sehingga Sabtu ini menyebabkan banyak kawasan dilanda banjir.
Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan media hari ini memaklumkan setakat jam 6 pagi tadi sebanyak lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka melibatkan kawasan Miri, Bau, Siburan dan Samarahan.
Jelasnya, di Siburan sebanyak lima PPS dibuka iaitu PPS Balai Raya Kampung Betong Kanowit, PPS Dewan Taman Duranda Emas, PPS St Peter Simpok, PPS Dewan Serbaguna Kampung Lintang Baru dan PPS SK Tanah Merah.
Di Miri pula satu PPS dibuka iaitu di Dewan Serbaguna SMK Berkenu yang menempatkan 30 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan 80 mangsa.
Manakala di Bau, satu PPS dibuka di Dewan Serbaguna Kampung Bijuray Mongag, Krokong, yang menempatkan 20 KIR dengan 94 mangsa.
Sementara itu, di Samarahan, satu PPS dibuka di SK Endap yang menempatkan tiga KIR melibatkan sembilan mangsa.
“Secara keseluruhan, seramai 319 mangsa daripada 93 Ketua Isi Rumah kini ditempatkan di lapan PPS di seluruh Sarawak, dengan trend pemindahan mangsa dilaporkan meningkat,” katanya.
Selain itu, kejadian tanah runtuh juga dilaporkan berlaku di beberapa kawasan akibat hujan berterusan sejak semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelemat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, antara kawasan terlibat adalah Kampung Semukoi, Jalan Serian-Sri Aman dan Jalan Kampung Haji Baki, Jalan Kuching-Bau.
Sehubungan itu, pasukan bomba telah menjalankan pemantauan di lokasi kejadian serta menasihatkan penduduk supaya sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan pergerakan tanah masih berlaku dan keadaan cuaca masih hujan.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan melibatkan beberapa bahagian di Sarawak berikutan jangkaan hujan lebat dan hujan berterusan sehingga Sabtu, 10 Januari ini.
Menurut MetMalaysia, di bawah Seksyen A: Amaran Hujan Berterusan (Buruk), hujan lebat berterusan dijangka berlaku di Kuching melibatkan daerah Bau dan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman serta Betong, khususnya di Pusa dan Betong.
Sementara itu, Seksyen B: Amaran Hujan Berterusan (Waspada) melibatkan kawasan Kuching (Lundu), Sri Aman (Lubok Antu), Betong (Saratok dan Kabong), Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri (Subis).
Amaran berkenaan dikeluarkan pada jam 6.30 pagi tadi dan orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada serta mengikuti perkembangan cuaca semasa.
tamat