Banjir Sarawak, 1428 mangsa ditempatkan di 25 PPS
KUCHING—Sebanyak sebelas daerah di enam bahagian di Sarawak terjejas akibat banjir yang melibatkan 1,428 mangsa yang telah dipindahkan di 25 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 malam ini.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Sarawak berkata, jumlah itu membabitkan 421 ketua isi rumah (KIR) yang mana trend kini masih menunjukkan peningkatan.
“Sebanyak 11 daerah di enam bahagian membabitkan 1,428 mangsa yang terjejas akibat banjir setakat jam 8 malam ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, di Kuching tiga PPS dibuka yang menempat 44 KIR membabitkan 171 mangsa.
Manakala di Mukah pula, satu PPS dibuka dan jumlah KIR dan mangsa masih dikemas kini dari semasa ke semasa.
Di Miri sebanyak tiga PPS dibuka yang menempatkan 18 KIR membabitkan 76 mangsa.
Sementara itu, di Samarahan sebanyak empat PPS dibuka yang menempatkan 137 KIR melibatkan 448 mangsa.
Di Sibu pula satu PPS dibuka yang menempatkan tujuh mangsa.
“Bahagian Serian merekodkan jumlah PPS yang paling tinggi iaitu 13 PPS yang menempatkan 220 KIR melibatkan 726 mangsa,” ujarnya.
tamat