Sasar Tanjung Embang sebagai hab antarabangsa, jadikan Sarawak ‘Bintang ASEAN’
KUCHING – Sarawak kini ke arah menjadikan Tanjung Embang sebagai hab industri dan logistik antarabangsa baharu selaras dengan aspirasi negeri itu untuk muncul sebagai sebuah “Bintang di ASEAN”.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan Tanjung Embang akan meletakkan Sarawak di barisan hadapan pertumbuhan ekonomi serantau dengan memanfaatkan lokasi strategik, kapasiti tenaga serta sumber semula jadinya.
“Tanjung Embang mesti bersifat antarabangsa. Berdasarkan lokasinya, kita berada dalam lingkungan penerbangan tiga hingga empat jam ke seluruh ASEAN dan Asia Timur.
“Jika anda mempunyai hab seperti itu, anda akan menjadi pemain kepada separuh daripada populasi dunia — pasaran tiga bilion orang,” katanya ketika sesi forum yang diadakan sempena Persidangan Bajet Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada hari Rabu.
Persidangan itu dianjurkan oleh Salihin Academy Sdn Bhd dan Sarawak Centre of Performance Excellence Sdn Bhd.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, zon antara (interzone) itu akan disokong oleh projek infrastruktur utama termasuk sebuah pelabuhan baharu, lapangan terbang antarabangsa baharu serta Kuching Low Carbon Hub, yang bertujuan menarik pelaburan berkualiti tinggi dan industri berteknologi maju.
Katanya Sarawak sudahpun menjalin kerjasama dengan rakan antarabangsa bagi memastikan kejayaan projek tersebut, dengan mencontohkan kerjasama berterusan antara Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Wilayah Jiangsu, China, dalam perkongsian kepakaran pembangunan industri dan wilayah.
Berdasarkan lawatan terbarunya ke Taman Perindustrian Suzhou, sebuah projek pembangunan bersama unggul China-Singapura, Abang Johari berkata Sarawak akan mengadaptasi pendekatan yang sama tetapi dengan identiti tempatan tersendiri serta visi jangka panjang.
Tegas beliau lagi, kekuatan Sarawak ialah bekalan tenaga yang boleh dipercayai, sumber air yang banyak dan modal insan, merupakan ramuan asas kepada mana-mana ekonomi moden, sekali gus membolehkan negeri ini menyertai rantaian nilai serantau dan global dengan lebih aktif.
“Hari ini, kita bukan sahaja menjana tenaga, malah kita berkongsi tenaga dengan negara-negara ASEAN.
"Pada masa hadapan, kita juga boleh menghasilkan produk berkualiti tinggi untuk dikongsi bersama ASEAN dan seterusnya,” tambahnya.
Menurutnya Sarawak perlu mengamalkan pemikiran yang berani dan berpandangan jauh untuk keluar daripada perangkap pendapatan sederhana, sambil memberi amaran bahawa sikap selesa akan menyebabkan Sarawak hanya memainkan peranan sekunder dalam pembangunan serantau.
“Kadang-kala anda perlu bercita-cita tinggi, jika tidak, anda akan sentiasa menjadi pengumpan kedua atau ketiga, anda perlu berada di hadapan,” ujarnya.
tamat