Kes PETROS–PETRONAS: Kerajaan Persekutuan akui DUN Sarawak punyai kuasa gubal DGO
KUCHING-- Kerajaan Persekutuan telah mengakui bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak mempunyai kuasa untuk meluluskan Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO 2016).
Perkara itu diberitahu Penasihat Undang-Undang Negeri Dato Sri JC Fong kepada Mahkamah Tinggi di sini, yang mendengar pertikaian berhubung jaminan bank antara Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dalam laporan The Borneo Post Online hari ini.
Jelasnya, Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi telah mengakui bahawa tiada pertikaian mengenai kuasa negeri untuk menggubal undang-undang yang mengawal pengagihan gas di Sarawak.
Menurutnya lagi, Peguam Kanan Persekutuan menyatakan bahawa Perintah Penyerahan Kuasa adalah jelas.
Perintah Penyerahan Kuasa merujuk kepada Borneo States (Legislative Powers) Order 1963, yang memperluaskan kuasa perundangan DUN untuk merangkumi bidang elektrik dan DGO.
Mengulas lanjut, Fong berkata melalui perintah ini, kuasa eksekutif ke atas pengagihan gas turut terletak pada kerajaan negeri.
Ini termasuk kuasa untuk melesenkan perniagaan atau aktiviti bekalan gas di Sarawak dan kuasa melantik pengagregat gas, katanya.
Dengan pengakuan Peguam Kanan Persekutuan bahawa DUN Sarawak mempunyai kuasa menggubal undang-undang berkaitan pengagihan gas, Fong berhujah bahawa keperlembagaan dan kesahan DGO serta pindaan 2023 adalah kukuh.
Fong menambah oleh itu, PETRONAS mesti mematuhi DGO dan di bawah Artikel 24.2 Perjanjian Jualan Gas Sarawak (SGSA), PETRONAS tidak boleh membekalkan gas di bawah perjanjian itu kepada PETROS tanpa lesen yang dikeluarkan di bawah Seksyen 7 dan 8 DGO.
Fong turut menjelaskan bahawa Klausa 1.1 dalam Deklarasi Bersama bertarikh 21 Mei 2025 yang ditandatangani Perdana Menteri dan Premier Sarawak, mengkehendaki DGO dan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) wujud bersama dalam mengawal rantaian bekalan gas di Sarawak.
Di bawah pengaturan ini, PDA mengawal pengeluaran gas luar pesisir, manakala DGO mengawal agihan gas dalam negeri oleh Pengagregat Gas yang dilantik negeri kepada industri dan pengguna akhir.
Beliau berhujah bahawa adalah peraturan yang diterima bahawa jika terdapat dakwaan bahawa tuntutan ke atas jaminan oleh benefisiari adalah tidak wajar, mahkamah perlu melihat kepada “kontrak asas”, iaitu SGSA.
SGSA, tambahnya, telah menjadi tidak sah atau digagalkan kerana PETRONAS membekalkan gas kepada PETROS tanpa lesen di bawah DGO.
Fong turut menolak hujah peguam utama PETRONAS, Datuk Cyrus Das, bahawa penggubalan DGO bertujuan menggagalkan SGSA dan bahawa “penggagalan kendiri” itu tidak boleh melepaskan PETROS daripada perjanjian.
Berdasarkan kes Sabah MLGH Sdn Bhd melawan Rainbow Bay Sdn Bhd, yang memutuskan bahawa Kerajaan dan Badan Perundangan Negeri adalah entiti berasingan, Badan Perundangan Negeri boleh menggubal undang-undang dalam batas perlembagaannya.
Walaupun di bawah SGSA, PETRONAS boleh membekalkan gas di Sarawak tanpa lesen di bawah DGO, peruntukan tersebut telah digagalkan atau menjadi tidak sah melalui penguatkuasaan DGO yang dipinda pada 2023, katanya.
“Tanpa lesen, PETRONAS tidak boleh membekalkan gas kepada PETROS dan tidak boleh mendapatkan bayaran untuk gas yang dibekalkan tanpa lesen. Pelaksanaan SGSA secara tidak sah menjadikan SGSA itu terbatal atau digagalkan, dan pihak-pihak terkeluar daripada SGSA.”
Beliau menegaskan bahawa DGO tidak bercanggah dengan Seksyen 6(1) dan (3) PDA. Seksyen 6(3) menurutnya telah mencapai tujuannya dengan mewajibkan mana-mana pihak (termasuk PETRONAS) untuk memohon kebenaran Perdana Menteri dalam tempoh enam bulan daripada kuat kuasa seksyen itu pada 1 November 1975. Seksyen 6(1) tidak boleh terpakai kepada undang-undang yang digubal lebih enam bulan selepas tarikh itu, seperti Akta Bekalan Gas 1993 dan DGO 2016.
“Oleh itu, meskipun wujud Seksyen 6(3) PDA, PETRONAS tetap perlu mematuhi DGO, iaitu undang-undang sah yang digubal negeri, yang tidak memberi hak untuk mengagihkan gas di Sarawak. DGO, sebagai undang-undang selepas kuat kuasa Seksyen 6(3), tidak boleh bercanggah dengan seksyen itu.”
Fong akan meneruskan hujahnya esok.
Selepas prosiding, Cyrus Das memberitahu media bahawa pertikaian antara PETROS dan PETRONAS kini lebih tertumpu kepada isu kontrak berbanding isu perlembagaan.
Cyrus Das berkata hujahan PETRONAS menunjukkan bahawa persoalan utama ialah sama ada jaminan bank yang dipertikaikan itu menjadi “mustahil” untuk dipenuhi dan sama ada tuntutan syarikat ke atas jaminan itu adalah sah.
Beliau menegaskan bahawa hujah perlembagaan adalah sampingan dan bukan sebahagian daripada tuntutan utama.
“Jadi PETRONAS berpendapat kes ini harus terhad kepada pertikaian yang berpunca daripada kontrak dalam jaminan bank. Ringkasnya, ini pertikaian kontrak, bukan isu perlembagaan,” katanya.
Mengenai pemakaian DGO, Cyrus Das berkata hujah berpusat pada takrif “pengguna” di bawah undang-undang itu.
Beliau berhujah bahawa DGO mengawal agihan gas kepada pengguna akhir, manakala pengaturan antara PETRONAS dan PETROS tidak termasuk dalam skop itu.
“PETRONAS membekalkan gas kepada PETROS. PETROS bukan pengguna. Di bawah Akta, ‘pengguna’ merujuk kepada pengguna akhir, iaitu pihak yang benar-benar menggunakan gas,” katanya.
“Dalam konteks itu, PETROS sendiri adalah pembekal. Berdasarkan takrif ‘pengguna’ di bawah DGO, PETROS tidak berada dalam kategori itu.”
Kes ini berpunca daripada usaha PETROS mendapatkan perintah mahkamah untuk mendapatkan semula RM7.95 juta yang dibayar kepada PETRONAS di bawah jaminan bank.
PETRONAS telah menuntut jaminan bank itu pada Oktober 2024 selepas tuntutan RM28.1 juta daripada PETROS berkaitan bekalan gas.
PETROS kemudian memulakan prosiding dan memohon injunksi untuk menghalang penyaluran wang tersebut. Namun permohonan itu menjadi akademik selepas Maybank Islamic Berhad melepaskan dana tersebut kepada PETRONAS.
PETRONAS turut diwakili peguam Khoo Guan Huat, manakala PETROS diwakili Tan Sri Cecil Abraham, Sim Hui Chuang dan Lim Lip Tze.
Prosiding didengar di hadapan Hakim Datuk Faridz Gohim Abdullah.
