33 kumpulan masyarakat Sarawak bersatu tegaskan kedaulatan negeri ini terhadap minyak dan gas
![]() |
| Sarawak bersatu bersolidariti mempertahankan kedaulatan Sarawak ke atas minyak dan gasnya |
KUCHING – Sebanyak 33 kumpulan yang terdiri daripada pertubuhan dan persatuan dari seluruh Sarawak bersatu bersolidariti mempertahankan kedaulatan Sarawak ke atas minyak dan gasnya.
Memetik laporan The Borneo Post, kumpulan tersebut turut bersama mengadakan sidang media "Participating Civil Society of Sarawak on Sarawak Petroleum, Oil and Gas" yang diadakan di Muzium Budaya Borneo, di sini, hari ini.
Antara organisasi yang mengambil bahagian termasuk The Sarawak Initiatives (TSI), Sarawak Association for People’s Aspiration (Sapa), Suarah Petroleum Group (SPG), Sarawak Dayak Iban Association (Sadia), Women Empowerment and Sustainability Network Association (Wesna), Society for Rights of Indigenous People of Sarawak (SCRIPS), Sarawak Women for Women Society (SWWS), Saya Anak Sarawak (SAS), Dayak Bidayuh National Association (DBNA), Bidayuh Graduates Association (BGA), The Advocates Association Sarawak, dan Malaysian Rangers Military Veterans Association, antara lain.
Kumpulan awam itu menegaskan pendirian bersama mengenai pemilikan dan hak kedaulatan Sarawak ke atas sumber semula jadinya — khususnya petroleum, minyak dan gas — dengan menyatakan bahawa sumber tersebut secara sah adalah milik rakyat Sarawak dan mesti diurus dengan penuh tanggungjawab demi manfaat generasi akan datang.
Perhimpunan itu, yang dianjurkan bersama oleh TSI dan ahli Civil Society of Sarawak, menghimpunkan wakil daripada pelbagai kumpulan komuniti dan persatuan untuk menyatakan kesatuan dalam mempertahankan hak, sumber dan identiti Sarawak.
Perhimpunan itu turut memberi penghormatan kepada Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem, atau lebih dikenali sebagai "Tok Nan", yang dikenang sebagai seorang pemimpin berwawasan dan berprinsip serta tegas mempertahankan hak rakyat Sarawak sambil memelihara identiti dan maruah mereka sebagai satu bangsa.
Sebuah tayangan video pendek turut dipersembahkan sebagai penghormatan kepada Tok Nan, menonjolkan legasi dan visi beliau yang kekal untuk Sarawak.
Sidang media tersebut menampilkan ucapan daripada jurucakap TSI, SPG, SAS dan Prof James Chin, yang menyertai sesi itu secara maya.
Dalam ucapan penutupnya, Pengerusi TSI, Datuk John Tenewi Nuek, berkata perhimpunan tersebut berfungsi sebagai bukti perpaduan dan tekad rakyat Sarawak terhadap kedaulatan negeri ini ke atas kekayaan semula jadinya.
“Kami menyeru setiap rakyat Sarawak dari semua lapisan masyarakat untuk bangkit bersama, mempertahankan kekayaan semula jadi kita, dan menegakkan hak-hak kita,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa sumber semula jadi Sarawak bukan untuk dirunding, sambil menekankan bahawa ia dilindungi oleh undang-undang, sejarah dan kehendak rakyatnya yang tidak tergugat.
“Sumber semula jadi Sarawak adalah terhad. Pengurusan yang bertanggungjawab merupakan satu amanah suci yang kita pikul bagi generasi kini dan akan datang.
"Kita sebagai rakyat Sarawak mesti memastikan kekayaan ini dibangunkan secara mampan, adil dan selaras dengan visi jangka panjang negeri kita. Biarlah mesej ini didengar di seluruh Malaysia dan juga di luar negara,” katanya.
John turut menegaskan bahawa mana-mana syarikat yang ingin beroperasi di Sarawak mestilah berbuat demikian dengan kerjasama kerajaan negeri dan mematuhi sepenuhnya undang-undang Sarawak.
“Satu-satunya jalan yang adil, rasional, dan berpandangan jauh ialah bagi mana-mana syarikat yang ingin beroperasi dalam wilayah kita untuk bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak dengan niat baik, menghormati undang-undang Sarawak dan demi kepentingan semua rakyatnya.
"Marilah kita melangkah ke hadapan bukan dengan konflik, tetapi dengan keyakinan berlandaskan undang-undang, dipandu oleh prinsip dan bersatu dalam tanggungjawab terhadap rakyat Sarawak,” ujarnya.
