Pekebun kecil Uma Badeng tuntut tanah kebun adat dikeluarkan daripada kawasan pajakan syarikat
BELAGA: Pekebun kecil dari komuniti Uma Badeng, Sungai Koyan, menuntut agar tanah kebun adat yang telah lama mereka usahakan dikeluarkan daripada kawasan Provisional Lease (PL) milik sebuah syarikat perladangan sawit, sekali gus menegaskan tanah berkenaan merupakan sumber kehidupan masyarakat setempat dan bukannya tanah kosong.
Wakil pekebun kecil, Thomas Pudong, berkata mereka telah menubuhkan sebuah persatuan sejak Oktober 2025 bagi menyelaras usaha mempertahankan tanah kebun yang diusahakan oleh masyarakat Lepo Badeng di sepanjang Jalan Rimbunan Hijau, Sungai Koyan.
Menurutnya, pada 6 Oktober 2025, wakil pekebun kecil Uma Badeng telah mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan ladang Kumpulan Sama PH4 (KS4) di pejabat ladang syarikat itu bagi membincangkan isu berkenaan.
“Pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana baik dan saling menghormati, namun tujuan kami jelas iaitu mempertahankan tanah kebun adat masyarakat Uma Badeng yang telah lama diusahakan oleh penduduk,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pertemuan itu, tegas Thomas pekebun kecil mengemukakan tiga tuntutan utama kepada pihak syarikat.
Pertama, jelasnya mereka menuntut agar tanah kebun adat masyarakat Uma Badeng dikeluarkan daripada kawasan PL syarikat kerana kawasan tersebut telah lama diusahakan oleh pekebun kecil tempatan dan bukan tanah terbiar.
Kedua pula, katanya, mereka meminta syarikat menghentikan sebarang bentuk intimidasi terhadap pekebun kecil, termasuk dakwaan bahawa syarikat memiliki geran tanah kerajaan.
Menurut Thomas, dokumen yang dimiliki syarikat hanyalah PL dan bukannya geran hak milik kekal, justeru status tersebut masih boleh dipersoalkan melalui saluran yang sah.
“Kami menolak sebarang bentuk tekanan atau ‘membuli melalui dokumen’ yang boleh menjejaskan kehidupan pekebun kecil,” katanya.
Tambahnya lagi, tuntutan ketiga pula ialah supaya syarikat menghentikan sebarang pencerobohan atau kerosakan terhadap kebun milik penduduk yang menjadi sumber pendapatan utama mereka.
Dalam masa sama, beliau berkata pihaknya turut membangkitkan isu pematuhan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) oleh ladang berkenaan.
Katanya, mereka dimaklumkan ladang itu belum mempunyai kakitangan tetap yang menguruskan pematuhan MSPO dan hanya berkongsi staf dengan ladang lain di bawah kumpulan sama.
Perkara itu, katanya, menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana syarikat benar-benar mematuhi prinsip kemampanan yang menekankan aspek People, Profit dan Planet.
“Jika hak masyarakat tempatan diketepikan, maka di manakah letaknya prinsip ‘People’ dalam pensijilan MSPO,” katanya.
Thomas turut menegaskan isu tanah kebun adat tidak wajar dilihat semata-mata dari sudut undang-undang di bawah Kanun Tanah Sarawak 1958, sebaliknya perlu mengambil kira hak tanah adat masyarakat Orang Ulu yang telah diwarisi turun-temurun.
Beliau berkata kebanyakan pekebun kecil hanya bergantung kepada kebun sawit untuk menyara kehidupan keluarga, termasuk menampung kos pendidikan anak-anak dan keperluan harian.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan bahawa masyarakat di Sungai Asap sebelum ini dipindahkan dari Ulu Balui bagi memberi laluan kepada pembinaan Empangan Bakun, dengan pelbagai janji pembangunan termasuk penyediaan tanah tambahan untuk pertanian.
“Sehingga kini, banyak janji tersebut masih belum ditunaikan sepenuhnya. Kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab moral dan politik terhadap masyarakat Asap,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya bersedia membawa perkara berkenaan kepada wakil rakyat kawasan, Pejabat Daerah Belaga serta kerajaan negeri dan Persekutuan sekiranya tiada penyelesaian yang adil dicapai.
“Kami akan terus menggunakan saluran sah dan aman untuk mempertahankan hak kami,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menggesa pekebun sawit dari Lepo Badeng serta kampung lain yang berdepan konflik sama dengan syarikat perladangan supaya bergabung dalam persatuan yang ditubuhkan bagi memperkukuh suara mereka.
“Tanah bukan sekadar sumber rezeki, tetapi kehidupan kami,” katanya.
tamat