Kerajaan Sarawak tambah peruntukan RM640 juta laksana SKAS tahun ini, bantu B40
KUCHING— Demi membantu rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah B40, Kerajaan Sarawak menambah peruntukan daripada RM480.2 juta kepada RM640 juta bagi melaksanakan inisiatif Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) tahun ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penambahan peruntukan itu dibuat selepas melihat impak positif pemberian SKAS pada tahun lepas yang telah dapat membantu sedikit sebanyak mengurangkan beban perbelanjaan rakyat.
“Syukur alhamdulillah pada tahun lepas, kita telah menyalurkan SKAS kepada lebih daripada 888,000 penerima yang layak terdiri daripada isi rumah, warga emas dan bujang. Mereka telah menerima bantuan SKAS dengan nilai antara RM250 hingga RM800.
“Pada tahun ini, saya telah bersetuju untuk menambah nilai bantuan daripada RM800 ke RM950 bagi kategori isi rumah, RM400 meningkat kepada RM500 bagi kategori warga emas dan RM250 meningkat kepada RM300 bagi kategori bujang, melibatkan penambahan peruntukan keseluruhan daripada RM480.2 juta tahun lepas ke RM640 juta tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 di Bazar Ramadan Stutong, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, bantuan SKAS itu dibayar secara berperingkat iaitu pada 10 Mac, 25 Mei dan November tahun ini.
Jelasnya lagi, kaedah penyaluran SKAS akan diteruskan melalui S Pay Global bagi pembelian barangan makanan asas di 2,249 buah pasaraya/kedai yang mengambil bahagian.
“Jadi penerima hanya perlu ‘scan’ saja menggunakan telefon pintar tanpa perlu guna wang tunai untuk membeli barang keperluan di premis yang mengambil bahagian di bawah program bantuan ini,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar rakyat Sarawak terus mendukung kerajaan negeri yang dipimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) supaya segala pembangunan dan kebajikan rakyat sentiasa terjaga.
“Tahun baru kita lihat bagaimana tetapi saya yakin keadaan kedudukan kewangan negeri kita mungkin mantap, Insya-Allah, selagi GPS memerintah ia mantap kerana pendapatan negeri akan bertambah.
“Kalau orang lain memimpin saya tidak tahulah, kerana kita tahu bagaimana kita menguruskan ekonomi kita, perbelanjaan kita, pendapatan kita dan macam mana nak menambah pendapatan kita dan saya ada idea baru macam mana nak tambah pendapatan Sarawak, asal kamu beri mandat dengan saya saja ada cara baru lagi yang akan dapat membangunkan Sarawak,” tegasnya.
tamat