Badang Sarawak 5 tahun lagi!
BETONG— Gelagat seorang kanak-kanak yang baharu berusia 10 tahun menyertai acara angkat berat kategori ‘snatch’ dan ‘clean and jerk’ lelaki 71 kilogram pada temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) 2026 di sini, hari ini berjaya mencuri tumpuan ramai.
Mana tidaknya ketika kanak-kanak lain masih leka bermain 'Video Game' serta melayan telefon pintar, Macxqlynson Ayden Paul, 10, yang berasal dari Kampung Sungai Rusa, Sarikei ini gigih memburu impiannya untuk bergelar atlet angkat berat yang berjaya.
Malah, dia yang mewakili Zon Tengah sanggup turun berlatih di Kompleks Belia Sukan, Sarikei tiga kali seminggu berguru dengan bekas atlet angkat berat Sarawak, Wyncles Kiring Tom.
Wyncles berkata, meskipun masih di usia muda, kanak-kanak tersebut memiliki disiplin yang baik serta kefahaman asas terhadap teknik angkatan, namun pendekatan latihan secara berperingkat dan berhati-hati terus diberi keutamaan.
“Buat masa ini, kita latih dia secara perlahan mengikut peringkat kerana faktor umur. Dalam tempoh dua hingga empat tahun akan datang barulah potensi sebenar dapat dilihat dengan lebih jelas,” katanya ketika ditemui di pusat latihan.
Menurut beliau, kanak-kanak berkenaan yang memiliki berat badan sekitar 65 kilogram telah berjaya melakukan angkatan snatch seberat 30 kilogram, manakala angkatan clean and jerk pula mencecah 45 kilogram, dengan kecenderungan lebih kepada disiplin clean and jerk.
“Dia lebih minat clean and jerk dan menunjukkan fokus yang baik dalam latihan. Ketika ini, dia menjalani latihan sebanyak tiga kali seminggu walaupun perlu menempuh jarak dari kediamannya di Jalan Sungai Rusak,” katanya.
Beliau menambah, kanak-kanak tersebut mula menyertai sukan angkat berat selepas diperkenalkan oleh rakan dan menunjukkan minat mendalam untuk berlatih di pusat angkat berat di bawah seliaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Stadium Sarawak.
Dari segi disiplin, jurulatih berkenaan menyifatkan atlet cilik itu sebagai mudah dibimbing dan cepat memahami arahan.
“Walaupun masih kanak-kanak, dia faham apa yang betul dan salah. Kita sentiasa membimbingnya dari segi teknik dan keselamatan,” ujarnya.
Mengulas potensi sukan angkat berat di Sarawak secara keseluruhan, beliau berkata pelbagai program pembangunan sedang dilaksanakan dan dijangka mampu melahirkan lebih ramai atlet berpotensi dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
“Peringkat awal kejohanan sebelum atlet dibawa ke tahap lebih tinggi. Budak ini antara harapan kerana disiplin, fizikal dan angkatan yang ditunjukkan setakat ini,” katanya.
Beliau yang sebelum ini merupakan atlet angkat berat Sarawak dan kini baru menceburi bidang kejurulatihan secara kontrak sejak tahun lalu optimis bahawa pembangunan berterusan mampu melonjakkan prestasi sukan tersebut di peringkat negeri dan kebangsaan.
tamat