Hanya satu projek tebatan banjir Sarawak capai tujuan sepenuhnya
KUCHING– Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen memaklumkan hanya satu daripada tiga projek tebatan banjir yang siap di Sarawak mencapai tujuan sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan itu menjelaskan, tiga projek yang siap itu merupakan 21 projek tebatan banjir yang diluluskan di Sarawak bagi tempoh 2021 hingga 2025.
"Daripada jumlah itu, hanya tiga projek berjaya disiapkan dan cuma satu daripadanya didapati mencapai tujuan sepenuhnya.
"Ini dapat dilihat ketika berlakunya hujan lebat berserta hujan berselang-seli semalam (11 Mac) yang mencetuskan banjir kilat teruk di banyak kawasan di Kuching sehingga menyebabkan lalu lintas terhenti, selain air melimpah masuk ke anjung kereta serta ruang tamu rumah penduduk.
"Kejadian banjir ini mendedahkan keberkesanan langkah pencegahan banjir masih terhad walaupun ratusan juta, malah dalam sesetengah kes mencecah berbilion ringgit diperuntukkan bagi projek tebatan banjir di Sarawak," katanya dalam kenyataan.
Chong berkata demikian ketika merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara pertama bagi 2026 yang menyorot kelewatan ketara serta kelemahan dalam perancangan dan pelaksanaan projek oleh Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Pengairan Dan Saliran Sarawak.
Beliau menjelaskan, dalam laporan itu menunjukkan bahawa sehingga 30 September 2025, hanya tiga daripada 21 projek telah disiapkan.
Tambahnya, manakala empat projek masih dalam pelaksanaan manakala 14 lagi kekal pada peringkat pra-pelaksanaan.
“Daripada tiga projek yang siap itu, hanya satu mencapai tujuan sepenuhnya, manakala dua lagi gagal menghalang kejadian banjir selepas projek dilaksanakan,” dakwanya.
Menurut laporan berkenaan:
2021–2022: Sembilan projek diluluskan, namun sehingga 30 September 2025 hanya satu siap, tiga berada pada peringkat pelaksanaan dan lima masih di peringkat pra-pelaksanaan.
2023: Enam projek diluluskan; dua telah siap, satu dalam pelaksanaan dan tiga lagi masih di peringkat pra-pelaksanaan.
2024: Lima projek diluluskan dan kesemuanya masih berada pada peringkat pra-pelaksanaan setakat tarikh audit.
2025: Satu projek diluluskan; sehingga 30 September 2025 satu telah siap, tiga pada peringkat pelaksanaan dan lima lagi masih di peringkat pra-pelaksanaan.
Chong turut mengkritik ketiadaan garis masa yang jelas dalam pelan strategik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), yang menurutnya menyumbang kepada kemajuan projek yang perlahan serta pemantauan tidak berkesan terhadap projek infrastruktur kritikal itu.
Sehubungan itu, beliau menggesa Timbalan Premier Sarawak, Sim Kui Hian, yang juga menteri yang menyelia kedua-dua kementerian dan jabatan terbabit, supaya mengambil maklum teguran Ketua Audit Negara serta mengambil tindakan segera bagi mempercepatkan penyiapan semua projek tebatan banjir bagi mengelakkan bencana pada masa depan.
tamat