Dayak, Cina boleh bentuk kerajaan stabil bersama di Sarawak dengan formula 35+16- Presiden PBDS
KUCHING– Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Dr John Brian Anthony yakin masyarakat Dayak dan komuniti Cina dapat membentuk asas politik yang kukuh jika bersatu demi merealisasikan gagasan “Sarawak Bermaruah”.
Beliau berkata, sekiranya masyarakat Dayak yang merangkumi kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu dapat bergabung dalam satu kesepakatan, mereka berpotensi menguasai kira-kira 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Jumlah itu sudah menjadi asas tunggal terbesar dalam landskap politik Sarawak.
"Buat pertama kali selepas sekian lama, masyarakat Dayak mempunyai pilihan sebenar sama ada untuk bersatu dan menjadi penentu, atau terus berpecah dan membiarkan pihak lain menentukan hala tuju kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut John Brian, perpecahan hanya akan melemahkan suara dan pengaruh politik masyarakat berkenaan.
“Apabila kita berpecah, kita ramai tetapi bersuara kecil. Apabila kita bersatu, kita menjadi majoriti yang mempunyai arah dan kekuatan,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau mengakui 35 kerusi sahaja tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan yang memerlukan sekurang-kurangnya 42 kerusi bagi memperoleh majoriti mudah.
Sehubungan itu, katanya, langkah seterusnya bukanlah bergerak secara bersendirian, sebaliknya membentuk kerjasama strategik dengan wakil daripada kerusi masyarakat Cina dan kawasan bercampur yang dianggarkan berjumlah 16 kerusi.
“Gabungan 35 kerusi Dayak dan 16 kerusi rakan daripada komuniti Cina serta kawasan bercampur akan menjadikan jumlah keseluruhan 51 kerusi. Ini bukan sekadar majoriti, tetapi asas kepada sebuah kerajaan yang stabil dan berfungsi, dibina atas kepercayaan bersama,” katanya.
John Brian berkata, selama beberapa dekad, masyarakat Dayak sering kali menjadi kelompok besar dari segi populasi namun berpecah dari sudut representasi politik.
“Kita menjadi minoriti politik bukan kerana kurang jumlah, tetapi kerana kurang kesatuan.
"Apabila kita memecahkan sokongan, pihak lain akan menyusun kekuatan,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa seruan penyatuan itu bukan bertujuan meminggirkan mana-mana kaum, sebaliknya bagi memastikan peranan semua komuniti dalam pentadbiran negeri terus diperkukuh.
“Kepada komuniti Cina dan masyarakat bercampur, penyertaan anda membawa keyakinan ekonomi, kepakaran teknikal serta kekuatan bandar.
"Asas Dayak pula menyumbang keseimbangan sosial, pembangunan luar bandar dan legitimasi budaya. Satu tanpa yang lain tidak dapat mentadbir dengan berkesan,” katanya.
Tambah beliau, Sarawak tidak pernah diasaskan untuk ditadbir oleh satu kelompok sahaja, sebaliknya melalui tadbir urus bersama berteraskan kepercayaan dan kerjasama.
“Apabila komuniti terbesar berdiri bersatu dan bekerjasama dengan komuniti lain, kita berhenti bersaing untuk ruang dan mula membina masa depan bersama.
“Gabungan 35 dan 16 kerusi menjadikan 51 – sebuah kerajaan kukuh yang dibentuk bersama. Inilah asas kepada Sarawak yang bermaruah,” katanya.
tamat