RM1.2 bilion diperuntuk untuk Sarawak bagi laksana 6 projek bekalan air- TPM Fadillah
KUALA LUMPUR-- Sebanyak RM1.2 bilion diluluskan Kerajaan Persekutuan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) untuk melaksanakan enam projek bekalan air di Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, selain itu, Kerajaan Persekutuan turut menyediakan peruntukan secara geran kepada Sarawak sebanyak RM243.5 juta bagi pelaksanaan Program Pengurangan Non-Revenue Water (NRW) atau air tidak terhasil melalui penggantian paip kritikal dan NRW secara holistik.
"Di Sabah dan Sarawak, bekalan air di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, namun Kerajaan Persekutuan meluluskan RM3.38 bilion pinjaman untuk 18 projek bekalan air di Sabah secara pinjaman di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan RM1.2 bilion untuk 6 projek di Sarawak.
"Selain itu, Kerajaan Persekutuan turut menyediakan peruntukan secara geran kepada Sabah dan Sarawak masing-masing sebanyak RM349 juta dan RM243.5 juta bagi pelaksanaan Program Pengurangan NRW melalui penggantian paip kritikal dan NRW secara holistik," katanya ketika menggulung perbahasan ke atas Titah Diraja petang tadi di Dewan Rakyat.
Jelas Fadillah, kesemua projek tersebut melibatkan pembinaan dan naik taraf loji rawatan air, kajian sumber air serta penyelenggaraan sistem bekalan air, dengan projek luar bandar turut disokong melalui peruntukan khas kementerian berkaitan.
"Kerajaan MADANI terus komited menjaga kesejahteraan rakyat melalui inisiatif strategik di bawah PETRA, dengan fokus memperkukuh infrastruktur rakyat serta menjamin bekalan air dan tenaga yang mampan," tambahnya.
Bagi menangani isu banjir di seluruh negara, Fadillah berkata, Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) merupakan penyelesaian struktur jangka panjang yang dilaksanakan secara berfasa.
Jelas beliau, sebanyak 140 projek RTB telah diluluskan di bawah Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan kini berada dalam pelaksanaan, manakala projek lain akan dipertimbangkan dalam Rolling Plan seterusnya bergantung kepada keutamaan dan kedudukan fiskal negara.
"Pelaksanaan projek berskala besar berpandukan Pelan Induk Tebatan Banjir (PITB) yang mengenal pasti kawasan berisiko serta menyediakan penyelesaian jangka pendek, sederhana dan jangka panjang, agar pembangunan tidak menambah risiko kepada komuniti.
"Projek yang sedang berjalan dipantau rapi melibatkan aspek teknikal, keselamatan, pengambilan tanah dan penyelarasan utiliti bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar dan berkesan," katanya.
Bagi hakisan pantai, katanya, Kajian Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu (ISMP) mengklasifikasikan kawasan kepada Kritikal, Ketara dan Belum Serius dengan kawasan kritikal diutamakan untuk langkah struktur seperti lapis lindung pantai, manakala kategori lain dipantau dan dikawal pembangunannya.
Menurutnya, projek kawalan hakisan pantai dilaksanakan melalui pendekatan reka dan bina atau konvensional, termasuk penyelarasan khas bagi isu pemecah ombak di Jeti Kuala Cenang, Langkawi dengan kerjasama agensi berkaitan.
"Untuk tindakan segera bagi mengurangkan risiko banjir, Kerajaan memperuntukkan RM189.9 juta pada tahun 2026 bagi Projek Pemuliharaan Sungai merangkumi pengaluran sungai, penstabilan tebing dan naik taraf saliran.
"Bagi isu pengambilan tanah untuk projek tebatan banjir, ia ditangani mengikut undang-undang sedia ada bersama Kerajaan Negeri, manakala sistem Ramalan dan Amaran Banjir membolehkan ramalan sehingga tujuh hari awal dan amaran seawal dua hari kepada orang awam," ujarnya.
Mengenai kajian Projek Empangan Air Bawah Tanah (Underground Dam - UGD) di Pulau Langkawi yang diumumkan di dalam Belanjawan 2026, beliau menjelaskan, ketika ini, projek ini telah selesai melalui fasa kajian oleh Independent Checker Engineer (ICE) bagi memastikan kebolehlaksanaan dan skop fizikal yang terlibat.
Tegasnya, kementerian melalui Jabatan Bekalan Air (JBA) dan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) sedang meneliti dan diperhalusi hasil kajian berkenaan.
"Manakala di Labuan, RM300 juta diperuntukkan untuk naik taraf infrastruktur air dengan 10 projek diluluskan, manakala bekalan elektrik diperkukuh melalui automasi pengagihan, naik taraf kabel bawah tanah serta pembinaan loji jana as kuasa baharu 120MW yang dijangka beroperasi 2028.
"Dalam sektor tenaga hijau, pemasangan solar di masjid terus diperkasa di bawah program NEM dan Solar ATAP, serta galakan kepada sekolah dan institusi kerajaan memanfaatkan bumbung bagi menjana tenaga bersih demi kelestarian negara.
"Kerajaan bergerak dengan perancangan jangka panjang, pelaksanaan berfasa dan tindakan segera, demi kesejahteraan rakyat, bekalan asas yang stabil dan masa depan tenaga yang lebih lestari," katanya lagi.
tamat