Sarawak beri pinjam RM1 bilion untuk bina Pusat Kanser Sarawak, tanggung RM500 juta untuk peralatannya
KUCHING — Demi kesejahteraan rakyat, kerajaan Sarawak bersetuju menanggung RM500 juta untuk membekalkan peralatan di Pusat Kanser Sarawak yang mana dana RM1 bilion bagi pembinaan pusat itu juga dipinjmankan dari kerajaan negeri.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan itu dibuat atas permintaan daripada Kerajaan Persekutuan untuk Kerajaan Sarawak menanggung sendiri perbelanjaan pembekalan peralatan bagi kegunaan pusat kanser berkenaan.
“Kita telah bersetuju bahawa Kerajaan Persekutuan akan membiayai pembinaan pusat kanser ini dengan menggunakan dana Sarawak terlebih dahulu mengikut perjanjian yang telah dipersetujui dan mereka akan membayar balik beransur-ansur dalam satu tempoh masa tertentu.
“Dan Kerajaan Persekutuan meminta supaya Kerajaan Sarawak membekalkan peralatan untuk pusat kanser ini dan kita bersetuju untuk membekalkannya yang dianggarkan menelan perbelanjaan sebanyak RM500 juta.
“Maknanya setengah bilion ringgit untuk peralatan dan satu bilion ringgit untuk pembinaan pusat kanser ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.5 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Sesi Forum Persidangan Bajet Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Tambah Abang Johari, pusat kanser ini penting kerana ramai pesakit dari negeri ini terpaksa mendapatkan rawatan di Semenanjung sekali gus menelan kos yang tinggi.
“Kita mahu kemudahan untuk pesakit kanser ini ada di Sarawak bagi memudahkan pesakit dan keluarga.
“Insya-Allah asal rezeki kita ada, pendapatan Sarawak bertambah kita pasti menanggung demi rakyat,” ujarnya.
Mengenai rombakan Kabinet Persekutuan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, Abang Johari mengucapkan terima kasih di atas kepercayaan Perdana Menteri dalam mengekalkan jumlah ahli Kabinet daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Saya mengucap terima kasih kepada Perdana Menteri kerana mengekalkan jumlah dari Sarawak dan tambahan dua dari PKR dan DAP Sarawak,” katanya.